Dalam tempoh perkhidmatan yang singkat sebagai penjawat awam ni, aku ditempatkan di Cawangan Khidmat Awam, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan selama 4 tahun. Banyak pengalaman yang menarik dan bermakna yang aku perolehi di sana.
Semasa aku di sana, Kementerian Pertahanan mempunyai lebih kurang 90 skim perkhidmatan. Ada guru, jururawat, pembantu makmal, pembantu laut, pembaca meter, dan macam-macam lagi. Kementerian Pertahanan juga mempunyai lebih 14,000 perjawatan di seluruh negara. Banyak skim, banyak penempatan, banyak ragam.
Bagi mengabadikan pegalaman-pengalaman ini, aku bercadang untuk kongsikan beberapa kes yang menarik sebagai kenangan, dan rujukan untuk kawan-kawan pembaca. Cerita ini akan diolah bagi tujuan kerahsiaan dan untuk disesuaikan dengan penulisan. Kes pertama aku nak kongsi adalah berkenaan aduan keganasan rumah tangga.
Pada suat petang, ada seorang kakitangan perempuan yang berkhidmat di Negeri Sembilan (bukan lokasi sebenar) datang ke BPSM untuk berjumpa dengan aku. Dalam perbincangan kami, Sofia (bukan nama sebenar) memaklumkan yang dia ingin memohon untuk berpindah tempat kerja ke Pulau Pinang (bukan lokasi sebenar).
Sofia menceritakan yang dia dan suaminya yang berkhidmat sebagai pekerja awam di salah sebuah agensi kerajaan di Negeri Sembilan mulanya hidup bahagia dan dikurniakan empat orang anak. Sehinggalah setahun kebelakangan ini apabila suaminya mula berkawan dengan kaki judi. Suaminya sering pulang ke rumah dalam keadaan marah apabila kalah judi.
Keadaan menjadi semakin parah apabila suaminya mula berjinak-jinak dengan air ketum. Sofia memberitahu yang dia sering di pukul oleh suaminya sehingga badannya dipenuhi kesan lebam (aku dengar dia cakap je, tapi aku tak tengok tau!). Sofia berkata yang dia risaukan keselamatannya dan meminta supaya dia dipindahkan di mana-mana unit di Pulau Pinang supaya dia boleh berada dekat dengan keluarganya.
Aku bersimpati dengan keadaan Sofia tetapi aku maklumkan dia yang aku terikat dengan peraturan sedia ada. Aku hanya boleh pindahkan dia ke unit tersebut sekiranya terdapat kekosongan dan aku boleh sediakan pengganti di unitnya. Selain aku perlu adil dan mengutamakan permohonan yang lebih awal. Akur dengan keputusan aku, dia pun balik dan bersetuju untuk menunggu gilirannya untuk ditukarkan.
Selepas beberapa minggu, bos aku memanggil aku ke pejabatnya. Setibanya aku di sana, aku mendapati Sofia berada di situ. Bos aku yang merupakan seorang perempuan yang pantang bila dengar isu perempuan tertindas, marah aku sebab membiarkan Sofia terus terancam. Dia dakwa dia dah periksa kesan lebam pada badan Sofia. Aku pun maklumkan yang kita tiada kekosongan di Pulau Pinang dan tiada pengganti yang boleh ditempatkan di Negeri Sembilan.
Dengan kedudukan dan semangat yang ada pada bos aku, dia pun menghubungi kedua-dua unit di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Dia berjaya mengaturkan supaya Sofia ditempatkan sementara di Pulau Pinang, dan pengganti di Negeri Sembilan dihantar kemudian. Dengan arahan yang diberikan, aku pun mengambil tindakan. Dalam tempoh 3 hari, Sofia pun telah mula berkhidmat di Pulau Pinang.
Selepas beberapa hari, aku terima panggilan telefon dari Ali (bukan nama sebenar). Ali mendakwa dia adalah suami kepada Sofia. Perbualan kami:
Ali : Encik, boleh saya tahu ke mana encik pindahkan isteri saya?
Aku: Maaf encik, saya tidak boleh dedahkan maklumat berkaitan kakitangan
Kementerian Pertahanan kepada orang lain. Apa lagi encik bukan kakitanga
kementerian ini.
Ali: Tapi saya suami dia. Saya berhak ke atas dia.
Aku: Maaf encik. Encik boleh tanya dia sendiri.
Ali: saya dah telefon dia berhari-hari tapi dia tak jawab.
Aku: Maaf encik. Saya tak patut campur urusan rumah tangga encik.
Ali: Encik, mesti dia kata kat encik yang saya pukul dia kan? Lepas tu dia
kata saya minum air ketum la kan?
Aku: .....
Ali: Encik, kalau dia betul isteri yang bertanggungjawab, kenapa dia lari
tinggalkan keempat-empat anak kami dengan saya? Dia tipu encik. Sebenarnya dia
yang nak ikut boyfriend baru dia. Mentang-mentang
la saya ni tukang kebun je.
Ali: encik tolonglah bagitahu saya di mana dia sekarang. Saya Cuma nak
berbincang baik-baik dengan dia je. Anak-anak pun dah rindu kat mak dia. Tolonglah
encik.
Aku: saya minta maaf encik, saya memang tak boleh dedahkan maklumat
kakitangan kementerian.
Ali: Tak nak bagitahu sudah! Aku akan cari sendiri! (letak telefon)
Perbualan ini membuatkan aku tersentak.
Adakah aku dah buat keputusa yang salah? Tapi semua tindakan aku adalah berdasarkan garis panduan dan arahan bos aku. Patut ke aku bantu Ali untuk berjumpa semula dengan Sofia? Aku berbincang dengan bos aku semula. Tapi kami memutuskan untuk tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga mereka.
Beberapa hari kemudian, aku mendapat berita dari unit di Pulau Pinang bahawa Ali telah datang ke unit tersebut dan menyerang Sofia! Keadaan tegang sehingga perlu ditenangkan oleh polis tentera. Rupa-rupanya, selepas gagal mendapatkan maklumat dari aku, Ali cuba menghubungi rakan-rakan kerja aku yang lain dan berjaya mendapatkan maklumat tentang Sofia dari rakan yang bersimpati dengan cerita dia.
Akhirnya dikhabarkan Ali di berkas oleh polis. Aku tak tahu apa jadi pada Sofia dan anak-anaknya selepas itu.
Sejak itu, aku sering ingatkan rakan-rakan kerja yang kita tak sepatutnya masuk campur urusan peribadi orang lain. Kerja di sini, kami memang terdedah dengan orang mengadu, menangis dan yang lagi selalu, memaki hamun. Tanggungjawab kita hanyalah untuk proses semua permohonan mengikut peraturan dan giliran dengan adil.