Khamis, 26 Jun 2014

Selamat Berjuang Mej Abdullah

Jihad yang paling besar bukanlah berperang menentang musuh. Ini menunjukkan bahawa banyak lagi perjuangan lain yang dituntut oleh Allah selain daripada peperangan. Hari ini merupakan hari terakhir Mej Abdullah berjuang bersama kami di Malbatt. Dia akan pulang ke Malaysia untuk perjuangan yang lain, yang lebih besar untuknya.

Mej Abdullah orang yang steady. Ceria tapi kurang bercakap sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ketua elemen woksyop. Ye la, woksyop ni kerja dia aktif. Hari-hari ada kereta rosak yang diorang kena baiki. Anggota elemen JLJ antara elemen yang paling ramai menyebabkan kerja pengurusan pun banyak.

Pada bulan Februari 2014, kami dikejutkan dengan berita anak perempuan beliau, Nurfathin Shahira bt Abdullah berusia 11 tahun dikesan menghidap kanser tulang di kaki kirinya. Pihak Malbatt menguruskan beliau untuk cuti kebajikan pulang ke Malaysia untuk membolehkan anak beliau mendapatkan rawatan. Dalam tempoh sebulan beliau di Malaysia, beliau sempat membawa anak beliau untuk mengikuti 2 sesi kimoterapi. Doktor memaklumkan selepas 3 sesi, anak beliau akan sihat seperti sediakala. Maka, beliau pun kembali ke Lubnan untuk terus berkhidmat.

Pada bulan Mei 2014, Mej Abdullah dimaklumkan yang kimoterapi tidak berjaya dan kaki anaknya terpaksa dipotong. Sekali lagi Mej Abdullah pulang ke Malaysia atas dasar kebajikan untuk bersama anaknya melalui prosedur tersebut. Kaki kanan anaknya terpaksa dipotong di atas  paras lutut.

4 jam selepas pembedahan bermula, Mej Abdullah di panggil doktor ke dalam dewan bedah. Doktor memaklumkan bahawa kanser telah merebak dan kaki anaknya terpaksa dipotong hingga ke atas paha. Dengan pasrah beliau terpaksa merelakan.

4 jam kemudian, selepas pembedahan selesai, beliau sekali lagi dipanggil oleh doktor. Doktor maklumkan yang mereka baru sahaja mendapati bahawa virus kanser telahpun menular sehingga ke paru-paru anaknya. Dan tiada apa yang boleh dilakukan oleh doktor lagi. Anak beliau kini dibenarkan pulang.

Kepada Maj Abdullah, kami doakan tuan diberi kekuatan untuk membawa keluarga tuan melalui saat getir ini. Selepas hujan, pasti akan muncul pelangi yang indah. Kami doakan yang terbaik untuk tuan dan keluarga. Dan percayalah, ajal itu di tangan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan