Saya tahu tajuk kali ini agak pelik. Ini sebenarnya terjemahan terus kepada pakej siri motivasi terkenal antarabangsa (chicken soup for soul). Sempena Hari Guru, saya berhajat untuk menulis mengenai kisah bagaimana guru-guru mwmberi inspirasi kepada saya. Dan bagi memuliakan mereka, saya akan cuba menulis dengan bahasa melayu.
1. Inspirasi mental
Semasa sekolah, saya merupakan pelajar yang aktif. Suatu ketika, saya mewakili sekolah untuk sukan olahraga. Pertandingan berlangsung di stadium Perak. Pada petang itu, saya dijadualkan untuk mengikuti acara saringan lumba lari 400m serentak dengan itu juga, saya terlibat dengan acara lompat tinggi di sekolah - acara sebelum sukan. Oleh kerana saya amat meminati acara lompat tinggi, saya tetap ambil bahagian hinggakan saya terlewat ke stadium.
Setibanya saya di stadium, saya dapati acara saringan 400m sudah hendah dimulakan. Sebaik sahaja guru pengiring saya nampak ketibaan saya, dia segera berlari ke arah pelepas dan minta acara ditangguhkan. Saya nampak dia dimarahi pelepas tetapi dia terus merayu. Kemudian dia segera mendapatkan saya, bantu saya bersiap sambil tak henti-henti berikan kata semangat. Saya dapat mengikuti saringan tersebut dan mendapat tempat kedua.
Pada pagi besoknya di stadium, ketika kontigen sekolah sedah berehat, guru saya datang kepada saya dan bertanyakan kenapa saya lewat. Saya maklumkan yang saya terlibat dengan acara sukan sekolah. Kemudian, dengan tenang dia memberitahu yang tidak salah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa tapi perlulah bijak meletakkan keutamaan. Mewakili sekolah adalah amanah dan semestinya lebih utama daripada sukan sekolah.
Cikgu boleh marah saya ketika saya tiba petang itu. Saya tahu dia tertekan. Tetapi dia memilih untuk menjaga maruah, mental dan emosi saya dan menegur saya pada keesokkannya. Berkat bimbingan dan semangat yang diberikan, saya berjaya mendapatkan pingat emas olahraga MSSPK pertama untuk sekolah saya.
2. Inspirasi ketekunan
Semasa di tingkatan 5, guru matematik kami terjatuh tangga sekolah menyebabkan kaki beliau patah. Beliau diberi cuti sakit selama sebulan. Dalam tempoh tersebut, mata pelajaran matematik dan matematik tambahan yang diajar oleh cikgu itu diganti oleh guru yang lain.
Selepas guru matematik kami kembali bertugas, beliau segera merancang untuk mengadakan kelas tambahan secara percuma kepada kami untuk mengajar semula bab-bab yang tertinggal, dan untuk membimbing kami supaya lebih bersedia untuk SPM.
Beliau bercuti bukanlah kerana sengaja, tempat beliau turut digantikan oleh guru lain tetapi atas dasar tanggungjawab dan mahu melihat kami berjaya, beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk membimbing kami. Majoriti cikgu yang mengajar kami turut ada melaksanakan kelas tambahan percuma di luar waktu persekolahan. Melihat kepada siri saya sendiri, saya sendiri pun akan berfikir berkali-kali untuk membuat kerja lebih masa kini. Cikgu sememangnya tekun.
3. Inspirasi Psikologi
Selepas peperiksaan akhir, kami berasa sangat lega. Pada malam tersebit, kami berpakat beramai-ramai untuk bermain futsal di tengah jalan, diantara dua blok asrama. Suasana sangat bising.
Tiba-tiba datang warden asrama memarahi kami. Kami dengan hati kering langsung tidak mengendahkan warden tersebut. Dia putus asa dan berlalu untuk mendapatkan pengetua asrama. Ada sebahagian daripada kami yang dah balik tapi ramainya masih terus bermain.
Pengetua datang. Dia kemudian memanggil salah seorang dari kami untuk bercakap dengannya. Dia terlebih dahulu bertanya kenapa kami bermain pada waktu malam. Kami maklumkan yang kami ingin melepaskan tekanan selepas ujian. Dia kemudian menasihati kami, kami tidak boleh pentingkan diri. Orang lain juga mahu lepaskan tekanan dan kami membuat bising akan mengganggu mereka. Dia kemudian memberi kami peluang untuk bermain lagi 15 minit dan kemudian minta kami bersurai sendiri.
Dengan penerangan rasional dan kepercayaan yang diberi, kami pun bermain, dan bersurai selepas 15 minit kemudian. Saya kagum dengan cara dia menegur kami, terkesan di hati kami, dan dia berjaya hentikan kami.
*********** TAMAT BAHAGIAN PERTAMA************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan