Salam Asyura rakan-rakan semua. Semoga segala ibadah yang kita laksanakan dalam menyambutnya diterima Allah, in sha Allah. Jadi kali ini aku berhajat untuk berkongsi sambutan Asyura di sini, khasnya oleh penduduk tempatan. Sebab macam yang kita semua maklum, majoriti di selatan Lubnan adalah golongan Syiah.
Asyura ni adalah sambutan yang besar di Lubnan. Sejak 1 muharam, orang-orang Syiah berkumpul dari petang hingga malam, berpakaian serba hitam. Imam-imam akan membaca khasidah, kisah sedih tentang pembunuhan saidina Hussien, kisah saidatina Aisyah, juga Saidina Ali. Perhimpunan ini ada coverage dalam berita dan tv live.
Kemuncak keraian adalah 10 Muharam, iaitu semalam. Perhimpunan yang lebih besar, masak bubur asyura ramai-ramai, khasidah yang lebih feeling sampai menangis-nangis, dan kali ini, ada dikalangan mereka akan menetak kepala mereka sendiri dengan parang. Sampai berdarah-darah! Kemudian, mereka akan ambil apa yang kelihatan seolah-olah zink yang dipotong memanjang dan melibas-libas badan mereka sendiri! Pun sampai berdarah-darah!
Siang tadi, Rumah Sakit ATM (RSAT) Malbatt dikunjungi oleh seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Dia dibawa oleh anak lelakinya, umur lewat 20an. Kepalanya terbelah, ada 3 belahan dan minta doktor kita jahitkan. Daripada perbualan doktor dengan lelaki itu (dengan bantuan juru bahasa), dia kata memang setiap tahun dia akan tetak kepalanya. Biasanya dia tidak akan jumpa doktor tapi kali ini memandangkan darah tidak berhenti, dia dipaksa anaknya untuk datang. Kena 8 jahitan.
Orang Syiah menganggap perbuatan mencederakan diri macam tu dapat membantu mereka lebih menghayati penderitaan yang dialami oleh Saidina Hussien dan lain-lain Ahlul Bait yang dibunuh. Menjadikan mereka lebih insaf, dan lebih taat kepada agama. I reserve my comment and let you think of it yourselves.
Jadi, malam tadi warga Malbatt turut mengadakan sambutan Asyura. Kami berkumpul, jemaah maghrib dan ada sedikit pengisian pasal Asyura oleh Ustaz Jamal KAGAT. Ustaz menceritakan yang puasa di hari Asyura turut dilaksanakan oleh orang yahudi bagi mengenang peristiwa Nabi Musa membelah lautan dan selamat daripada Firaun.
Bagi umat Islam pula, Hari Asyura adalah hari yang istimewa kerana banyak perkara berlaku pada 10 Muharam termasuklah kejadian bumi, turunnya nabi Adam ke bumi, peristiwa bahtera nabi Noh, nabi Yunus terkeluar dari perut ikan, nabi Ayob sembuh dari penyakit dan kiamat juga dikatakan akan berlaku pada 10 Muharam.
Menurut Ustaz lagi, daripada kitab (lupa tajuk) yang soheh, ada 2 orang ulama besar Syiah telah mengaku yang sebenarnya Saidina Hussien dibunuh oleh kaum Syiah sendiri. Ini adalah kerana ketika berlaku perselisihan antara beliau dan Muawiyah, beliau mengambil keputusan untuk menyerahkan tampok kepimpinan kepada Muawiyah daripada berperang sesama Islam. Kaum Syiah senang dengan berita ini lalu membunuh Saidina Hussien. Mereka kemudian menyesal dengan perbuatan tersebut, maka tindakan mencederakan diri sendiri pada 10 Muharram sebenarnya untuk menzahirkan kekesalan atas tindakan mereka. (Sila rujuk kepada sumber yg lebih meyakinkan untuk kisah yang lebih tepat.)
Sebagai umat Islam, aku sangat sedih dengan keadaan umat kita yang berpecah belah ini. Ulama-ulama sentiasa berusaha untuk menyatukan kita dengan pelbagai cara. Tapi hidayah itu dari Allah. Allah beri kepada orang yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun, kita perlulah usaha untuk dapatkannya, kekalkannya dalam diri kita, dan jika mampu, kita kongsi dengan rakan-rakan Islam dan bukan Islam. Syukur Malaysia masih aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan