Assalamualaikum, kali ni aku nak kongsi cerita seorang pelarian yang sempat kami kenal dan dengar kisahnya. Semoga dari kisah ini kita sama-sama dapat mempelajari sesuatu, in sha Allah.
Mr Ramish merupakan seorang umat Islam Sunni. Beliau telah berkeluarga dan dianugerahkan 5 orang anak. Anak sulung berusia belasan tahun dan yang bungsu baru berusia 4 tahun. Beliau berasal dari Syria. Sebagai seorang peniaga, keadaan hidup beliau adalah sederhana.
Pada penghujung 2012, berlaku kemelut dalaman diantara kerajaan dengan rakyat di Syria. Kerajaan yang diteraju bangsa Syiah bertindak mengarahkan tentera untuk membunuh semua yang menentang kerajaan; baik Sunni mahupun bangsa Syiah sendiri. Dalam kekalutan, Ramish melarikan semua keluarganya keluar dari Syria. Memandangkan negara paling hampir adalah Lubnan, disamping urusan untuk masuk ke negara itu mudah (tiada penguatkuasaan imigresen dsb sbb kawasan perang), maka Ramish membawa keluarga ke sini.
Sampai di Lubnan sebatang kara, beliau cuba mendapatkan tempat perlindungan berbekalkan duit yang dibawa dari Syria. Rupanya akibat kemelut dalaman, matawang Syria jatuh, tiada permintaan untuk matawang tersebut. Duit yang ada tidak cukup untuk mendapatkan tempat perlindungan yang selesa. Maka hiduplah Ramish dan keluarga seadanya.
Berbekalkan kereta lama yang dibawanya dari Syria, Ramish menjaja kacang dan makanan-makanan ringan dari satu tempat ke tempat lain. Sikap Ramish yang jujur dan pemurah amat disenangi sehinggakan Malbatt menjemput Ramish untuk berniaga di dalam kem setiap hujung minggu. Walaupun beliau minoriti Sunni di sini, beliau tidak berselindung. Kadang-kala, beliau akan melaungkan azan di surau kem jika kami lewat.
Minggu lepas, berlaku letupan bom di Kedutaan Iran di Beirut. Letupan berpunca daripada 2 orang pengebom berani mati. Pengebom pertama menunggang motosikal dan meletupkan diri. Sebaik sahaja orang ramai mengerumuni, sebuah kereta datang dan membuat letupan yang lebih besar! Spekulasi menunding jari kepada orang Sunni dari Syria. Sememangnya orang Sunni dari Syria membenci Iran kerana Iran bersekongkol dengan kerajaan Syria untuk membunuh rakyatnya sendiri.
Ekoran daripada kejadian itu, perniagaan Ramish terjejas. Dia diancam oleh penduduk-penduduk tempatan kerana dia adalah golongan Sunni dari Syria. Lebih seminggu dia tidak dapat berniaga seperti biasa. Dia akan tunggu di hadapan kem Malbatt mengharapkan warga Malbatt membeli. Tapi kerana terpaksa, kini dia teruskan juga perniagaannya.
Peperangan. Kalau pun rakyat itu terselamat daripada dibunuh, dia akan hidup menderita. Tiada yang untung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan